Thursday 17 September 2015

Industri Kecil dan Sederhana

Perkembangan arus kemodenan mendepani era globalisasi yang menerjah dunia telah memberi impak dan perubahan yang besar kepada negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh kerajaan supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan memfokuskan kawasan luar bandar. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu hati kuman sama di cecah, hati gajah sama dilapah. IKS luar bandar telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Antara contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar ialah kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik, kilang mi dan lain-lain lagi. Industri inilah telah menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara secara tidak langsung. Walaupun IKS ini bersifat sederhana pendapatanya, tetapi kepesatan dalam proses perniagaan adalah seiring dengan kemajuan negara.
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. (www.e.kamus.dbp.gov.my) IKS juga adalah komponen yang penting dalam pertumbuhan ekonomi negara dan sektor industri ini banyak menyediakan peluang pekerjaan. Berikutan peranan dan sumbangan besar sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada ekonomi negara, kerajaan memfokuskan pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar sebagai satu agenda utama negara dan sumber yang penting ke arah mengubah dasar ekonomi Malaysia kepada dasar ekonomi baru yang berpandapatan tinggi.Di Malaysia terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan.Untuk menjalankan aktiviti perniagaan IKS, anda perlu mendapatkan lesen premis dan lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Selain itu, perniagaan-perniagaan tertentu juga memerlukan lesen khas mengikut jenis perniagaan.
Dalam konteks penyertaan komuniti dalam bidang keusahawanan, perkara pokok yang menjadi tumpuan perbincangan ialah berkenaan dengan tahap penyertaan. Kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa tahap penyertaan komuniti dalam bidang keusahawanan terutamanya di kawasan luar Bandar adalah masih rendah. Faktor-faktor ini perlu dikenal pasti dan diteliti memandangkan bidang keusahawanan bakal memberikan impak yang besar dan mampu membawa perubahan terutamanya kepada perkembangan aspek sosioekonomi dan fizikal komuniti tempatan. Oleh sebab itu, pelaburan dalam bidang ini terbuka luas kepada sesiapa sahaja terutama bagi mereka yang berkemampuan dari segi modal, kemahiran dan juga kadang-kala kuasa politik bagi menzahirkan agenda pembangunan tersebut. Namun begitu, penyertaan komuniti tidak semudah seperti yang diharapkan. Dalam persekitaran sebenar, ianya dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan kekangan. Jika diteliti, anggota komuniti telah dibiasakan dengan persekitaran dan sistem yang tidak menggalakkan atau memberikan peluang kepada mereka untuk menyuarakan pendapat, membuat keputusan dan mengambil inisiatif untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Selain daripada itu, keadaan dan peraturan, nilai dan budaya serta norma dan amalan tertentu dilihat sudah berakar umbi dalam kehidupan komuniti dan masyarakat serta berkemungkinan komuniti terbabit mencurigai sesuatu perubahan yang cuba dilakukan. (www.ukm.my.geografia)
Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar.  Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung Satu Produk’.  Sebagai contoh  kilang membuat kerepek, kilang membuat sos tomato, kilang kraf tangan  dan lain-lain lagi.  Pengusaha kilang dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada hari ini.  Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.IKS juga telah memberi sumbangan dalam beberapa bidang seperti jumlah pertubuhan, jumlah pekerjaan, nilai keluaran dan harta tetap.  IKS membuka banyak peluang pekerjaan, sumbangan dalam meningkatkan jumlah simpanan negara dan menjimatkan tukaran wang asing. Selain itu mewujudkan distribusi pendapatan yang lebih baik, membantu dalam melahirkan dan meningkatkan kemahiran di kalangan tenaga kerja terlibat baik di peringkat pekerja mahupun pada peringkat pengurusan dan membantu dalam meningkatkan arus pemindahan teknologi asing. IKS perlu membuat jaringan perniagaan yang meluas merangkumi jaringan dengan sektor swasta dan sektor awam. Kedua-dua sektor ini adalah pelengkap kepada industri IKS. Tanpa kerjasama dari dua sektor ini, IKS tidak mampu berkembang  maju. Hal ini demikian adalah penting kerana negara kita memerlukan kepelbagaian dalam sektor industri. Penglibatan IKS yang aktif dan dalam pelbagai sektor juga membolehkan asas industri yang mantap dan kukuh dan tidak akan tergugat dan terjejas sekiranya terdapat penarikan operasi dan pelaburan dari sektor swasta dan awam.
Selain itu, IKS dengan penyesuaian mereka kepada intensif tenaga buruh dapat mengeluarkan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh syarikat dan firma besar. Pembuatan barangan makanan, pakaian dan alatan perabot daripada industri kecil sekurang-kurangnya dapat memenuhi kepuasan cita rasa pengguna dalam negeri. Tidak dapat dinafikan juga bahawa IKS juga dapat mengeluarkan barangan yang dapat memenuhi keperluan barangan sebahagian besar golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana dalam negeri. Perkara ini jelas dapat dilihat dalam industri tertentu seperti pembuatan makanan, pembuatan logam, peralatan plastik dan getah, pakaian, peralatan perabot dan seumpamanya. Dengan itu melalui Dasar Ekonomi Baru  yang dilancarkan oleh Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dapat memacu ekonomi rakyat dengan lebih tinggi. Dengan cara ini juga menggalakkan peniaga menjalankan perniagaan yang lebih kreatif, inovatif dan bernilai tinggi. Dengan cara alternatif ini pelaburan mereka akan mendapat pulangan yang berlipat kali ganda. Kadar pembangunan ekonomi negara semakin pesat, pertumbuhan sektor perkilangan yang meyakinkan dan wawasan negara ke arah negara perindustrian 2020, ternyata memerlukan sokongan dan sumbangan IKS yang lebih besar dan bermakna. (www.penerangan.pmr.gov.my)
Halangan Pembangunan Usahawan Bumiputera terdapat beberapa kelemahan usahawan seperti kekurangan modal, kekurangan kemahiran pemasaran, kekurangan pengetahuan dan teknologi, kekurangan pekerja mahir, kekurangan kemahiran dan pengetahuan pengurusan dan ketidakmampuan untuk mendapat premis perniagaan yang sesuai (Zaidatol dan Habibah, 1997). Dapatan Humam dan rakan-rakan (1992) menunjukkan faktor yang sama juga telah menyebabkan kegagalan perniagaan iaitu pengurusan yang lemah, masalah pemasaran dan kewangan, faktor perundangan dan peraturan serta faktor peribadi dan keusahawanan. Walaupun sistem pendidikan secara beransur-ansur mengubah nilai dan sikap Bumiputera ke arah perubahan positif, masih terdapat beberapa golongan usahawan Bumiputera yang masih ketinggalan dari segi daya cipta, amalan perniagaan yang baik dan semangat bekerja yang gigih. Budaya niaga keusahawanan dan kesanggupan menanggung risiko masih belum dihayati sepenuhnya oleh masyarakat peniaga Bumiputera. Usaha kerajaan untuk membantu kaum Bumiputera telah banyak dilaksanakan, dan pendidikan perdagangan dan keusahawanan telah lama wujud di Malaysia (Shahril, 1993). Kementerian Pendidikan juga memainkan peranan penting mewujudkan pelapis usahawan melalui program seperti Usahawan Muda dan Briged Usahawan (Zaidatol et at. 1998). Sieh (1990) dalam kajiannya tentang profil usahawan Malaysia mendapati usahawan menghadapi masalah dalam bidang kewangan kerana mereka kurang pengetahuan. Pandangan yang sama diberikan oleh Timmons (1985) apabila beliau mengatakan asas pendidikan keusahawanan adalah kemahiran teknikal dan kewangan. Memandangkan pesatnya perkembangan keusahawanan sekarang ini, adalah penting untuk dijalankan kajian bagi mengenal pasti tahap keupayaan usahawan Bumiputera di Malaysia setelah kerajaan mempergiat usaha untuk membangunkan keusahawanan. Kemahiran Usahawan Bumiputera Dalam kajian yang dilakukan oleh Zaidatol Akmaliah Lope Pirie & Habibah Elias (2004), usahawan bumiputera mempunyai keupayaan yang tinggi dalam membentuk hubungan manusia yang baik, dan membentuk kemahiran komunikasi secara lisan dan tulisan. Dapatan tersebut menyokong pandangan Fatley (1990) dan McCannon et at. (2000) yang menyarankan komunikasi berbentuk tulisan dan lisan adalah penting dan menjadi asas kepada pembentukan kemahiran yang lain di tempat kerja. Womble et at. (2000) pula mendapati kemahiran interpersonal dan hubungan manusia merupakan sesuatu yang amat penting di tempat kerja hari ini. Zaidatol et al. (2000) juga telah mengenal pasti kepentingan kemahiran komunikasi dan hubungan manusia di tempat kerja untuk kejayaan sesuatu kerjaya. Mereka juga mendapati kemahiran keusahawanan dalam aspek pengurusan dimiliki oleh kebanyakan usahawan bumiputera dan keadaan ini amat bertepatan dengan pandangan Zaidatol et al. (2000) yang mengatakan bahawa perniagaan yang berjaya selalunya melibatkan beberapa kemahiran yang lain selain daripada aspek fungsian perniagaan sahaja. Luft (1986) menyarankan prinsip hubungan manusia yang diperlukan untuk kejayaan kerjaya adalah berkaitan dengan pembentukan konsep kendiri yang positif, menerima kritikan, menyelesaikan konflik, menangani perubahan, menangani diskriminasi dan prejudis dan memahami sumber nilai, nilai kendiri dan menerima nilai orang lain. Usahawan bumiputera didapati mempunyai kemahiran mengurus dan membentuk hubungan manusia yang baik sebagai kemahiran keusahawanan yang paling penting dan kedua-dua kemahiran tersebut merupakan kemahiran yang paling tinggi kebolehan usahawan melaksanakannya.  Walau bagaimanapun terdapat perbezaan dari segi kebolehan usahawan bumiputera dalam mengendalikan aspek kewangan dan pemasaran. Walaupun secara keseluruhan didapati usahawan Bumiputera telah mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan dan telah mengikuti kursus dalam bidang pemasaran, namun kebanyakan daripada mereka masih kurang berkeupayaan dalam melaksanakan kemahiran kewangan dan pemasaran yang mereka sendiri sedar akan kepentingannya. 
Satu kajian yang dilakukan oleh Zaidatol Akmaliah Lope Pihie & Habibah Elias (2004) terhadap usahawan-usahawan Bumiputera yang bernaung di bawah Dewan Perniagaan Melayu telah mendapati bahawa 55% usahawan Bumiputera telah pun berkecimpung dalam dunia perniagaan melebihi 10 tahun. Walaupun perniagaan mereka merupakan perniagaan kecil-kecilan (72% mempunyai pekerja kurang daripada 20 orang), mereka masih menghadapi masalah utama untuk mengutip akaun boleh terima, iaitu seramai 61% belum mampu untuk mengatasi masalah tersebut. Di samping itu juga didapati 61% kurang berkemampuan untuk menjalankan kajian pasaran, 60% belum begitu mampu menyediakan laporan kewangan dan seramai 58% kurang berkebolehan untuk menentukan arah aliran produk. Ini membimbangkan kerana kebanyakan daripada kemahiran perakaunan dan pemasaran yang dianggap penting untuk kejayaan masih lagi belum dikuasai sepenuhnya oleh usahawan Bumiputera. Apakah faktor utama yang menghasilkan keadaan ini? Dapatan juga menunjukkan hanya 26% usahawan telah berpeluang mengikuti latihan keusahawanan selama enam (6) bulan dan lebih. Kebanyakannya (57%) hanya telah berpeluang mengikuti kursus keusahawanan kurang daripada (6) bulan. Fenomena ini mungkin mempengaruhi persepsi mereka terhadap keupayaan melaksanakan kemahiran keusahawanan terutama dalam bidang pemasaran. Seramai 17% pula tidak pernah mengikuti latihan langsung dan hanya 44% pernah mengikuti kursus berbentuk perakaunan atau kewangan. Ilmu pemasaran didapati amat penting untuk usahawan bumiputera. Keputusan yang dibuat dalam aspek pemasaran selalunya mempengaruhi usaha mereka dalam merancang, menjalankan dan menguruskan perniagaannya. Usahawan Bumiputera hendaklah mengoperasikan perniagaannya berlandaskan amalan pemasaran yang betul. Menurut Zaidatol et at. (1997) terdapat banyak syarikat yang muflis kerana pemiliknya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam menangani keadaan pasaran yang sentiasa berubah. Tambah beliau lagi perniagaan hari ini hendaklah berorientasikan pemasaran. Syarikat yang ingin membentuk dan mengeluarkan barangan tanpa mengambil kira kemudahan dan keperluan pelanggan akan menghadapi masalah. Dengan mengambil kira perkembangan perniagaan secara global aplikasi konsep pemasaran ini perlu diberi tumpuan yang lebih. Mengikut Drucker (1963) dua fungsi utama untuk sesebuah perniagaan ialah pemasaran dan inovasi. Pandangan ini juga disokong oleh Barnes, Pynn dan Noonam (1982) bahawa kebanyakan firma gagal setiap tahun kerana mereka tidak berupaya untuk menentukan sasaran pasaran. Ini juga dipersetujui oleh Cohen dan Reddich (1981) bahawa kegagalan sesuatu perniagaan itu adalah hasil daripada cara pemasaran yang salah. Memandangkan usahawan dalam kajian ini berskala kecil, Tootelian dan Goedeka (1985) pernah menyatakan bahawa sepatutnya mereka yang berkecimpung dalam perniagaan yang begini mendapat kelebihan dalam aspek: perkhidmatan pelanggan secara peribadi, pengetahuan tentang pelanggan dan pasaran, hubungan rapat dengan komuniti, pendekatan secara peribadi dengan pekerja dan pengurusan yang anjal. Malangnya usahawan bumiputera dalam kajian ini tidak menunjukkan ciri-ciri yang positif dalam menguasai kemahiran pemasaran walaupun situasi atau persekitaran yang disediakan mampu mengarah mereka ke arah keberkesanan yang lebih tinggi. Malahan dalam senarai sepuluh kemahiran yang paling penting mengikut persepsi usahawan hanya satu kemahiran sahaja berkaitan dengan pemasaran iaitu 'menentukan keperluan pelanggan'. Pemeringkatan yang rendah kepada aktiviti pemasaran oleh usahawan menunjukkan usahawan kurang faham dan tidak memberi tumpuan yang cukup kepada usaha pemasaran yang penting untuk kejayaan. Begitu juga dalam aspek kewangan, masalah utama usahawan Bumiputera ialah untuk mengutip akaun boleh terima. Tate (1977) juga mendapati salah satu penyebab kepada kegagalan dalam perniagaan ialah kegagalan usahawan mengutip akaun boleh terima. Pandangan ini disokong oleh Diffley (1983) yang mendapati kemahiran 'mengutip akaun boleh terima merupakan kemahiran yang paling penting untuk usahawan di Kansas. Aspek lain yang ketara pentingnya dalam pengendalian perniagaan adalah pengurusan kewangan, belanjawan dan penyediaan penyata aliran tunai.
Kesemua kemahiran ini amat diperlukan tetapi usahawan Bumiputera tidak mempunyai keupayaan yang tinggi dalam hal ini. Kemahiran-kemahiran ini adalah penting untuk menjamin kejayaan sesebuah perniagaan (Kiesner 1990). Kepentingan kemahiran pemasaran dan kewangan ini tidak dapat dinafikan lagi. Beberapa kajian lepas seperti oleh Mc Ewen (1990), Hess (1987) dan Clouse (1990) telah merumuskan bahawa kedua-dua aspek ini berkait rapat. Misalnya Clouse (1990) menyatakan bahawa kepentingan membuat keputusan dalam pemasaran adalah amat tinggi bagi seseorang usahawan. Beliau juga menekankan kepentingan aspek kewangan terutama untuk memahami aliran tunai dan menganalisis untung dan rugi. Manakala Hess (1987) pula menyatakan aspek jualan dan pemasaran mendahului senarai utama tugas seseorang usahawan diikuti oleh kemahiran pengurusan kewangan. Kohn (1985) pula percaya kegagalan perniagaan itu disebabkan oleh kurang pengalaman usahawan dalam pengurusan, usahawan tidak kompeten, kekurangan modal, strategi pemasaran yang salah, serta rekod dan prosedur perakaunan yang tidak lengkap.
Memandangkan seramai 92% usahawan Bumiputera merasakan latihan keusahawanan adalah penting, dan mereka telah mula sedar akan kepentingan sesuatu kemahiran tertentu maka adalah lebih baik sekiranya mereka diberi peluang sewajarnya untuk mengikuti program latihan dan pembangunan usahawan yang sempurna. Program latihan itu perlulah bukan sekadar pendedahan sahaja tetapi mempelajari selok-beloknya. Seharusnya kemahiran keusahawanan yang penting dan perlu dikuasai dapat dipelajari secara formal atau tidak formal sebelum mula menceburkan diri lagi. Kemahiran tersebut dapat dipertingkatkan penguasaannya secara beransur-ansur setelah berkecimpung dalam dunia perniagaan.(
www.research.blogspot.com) Di samping itu,Industri Kecil dan Sederhana (IKS) masih lagi bergelut dengan isu-isu yang berkaitan dengan ekonomi "lama," dan sekarang terpaksa pula menghadapi keperluan untuk menangani cabaran-cabaran yang membentuk rupa dan kandungan ekonomi dunia "baru". Kebanyakan cabaran itu adalah berkaitan dengan proses-proses globalisasi dan liberalisasi perdagangan. Menurut Dr. Ragayah Mat Zin, profesor madya ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia  bahawa sementara mereka yang berdaya ketahanan untuk terus hidup daripada kelembapan ekonomi terus bergelut dengan isu-isu yang sentiasa menghantui IKS, cabaran-cabaran baru pula telah muncul.Cabaran-cabaran itu, sebahagian besarnya di dalam bentuk perubahan pesat dalam teknologi, kesan globalisasi dan liberalisasi perdagangan dan kemunculan ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi).Penerusan isu-isu "ekonomi lama" termasuklah masalah kekurangan modal, kekurangan sumber manusia, tahap teknologi yang rendah dan kawalan mutu yang lemah, prasarana perindustrian tidak mencukupi, dan kurang penggunaan bantuan kerajaan.''Di dalam persekitaran baru ini, kita boleh melihat IKS sebagai satu sumber pertumbuhan diperbaharui cuma jika mereka boleh menangani masalah-masalah kewangan mereka, mengatasi halangan-halangan sumber manusia mereka, menerima pakai dan menyesuaikan teknologi-teknologi baru dan juga mengatasi kekurangan maklumat. Satu pendekatan penting bagi IKS untuk mengatasi cabaran-cabaran itu ialah menubuhkan ikatan strategik dengan pelbagai pihak. Memandangkan daya saingan semakin didefinisikan oleh teknologi utama, IKS Malaysia mestilah membangun keupayaan bagi menerima pakai dan menyesuaikan teknologi-teknologi itu bagi kegunaan mereka sendiri. Sementara langkah ini akan menambah kepada masalah-masalah yang mereka telah hadapi, ia perlu diambil sekiranya mereka mahu meneruskan hidup di dalam pasaran ekonomi baru. (www.utusan.com.my)
Disebabkan oleh keperluan untuk bergantung kepada permintaan domestik dan industri yang berorientasikan domestik untuk pertumbuhan ekonomi negara telah bertambah, Kerajaan akan terus memberi sokongan untuk menguatkan lagi pertumbuhan ekonomi melalui Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan memperkenalkan langkah-langkah baru dan merasionalkan usaha yang telah ada untuk membangunkan lagi IKS yang mampan. Antara langkah-langkah yang telah dikenalpasti :-
·         Untuk memperbaiki sistem sokongan institusi
·         Untuk memudahkan ketersampaian kepada pembiayaan
·         Untuk menaiktaraf kemahiran teknologi
·         Untuk mempertingkatkan akses pasaran
·         Untuk menggalakkan pengunaan ICT yang lebih banyak dan
·         Untuk menambahkan kesedaran penjenamaan produk dan hak perlindungan harta   intelek.
Dalam menggalak dan menaiktarafkan IKS Bumiputera di bawah Masyarakat Perdagangan dan Bumiputera (BCIC) usaha akan dipertingkatkan lagi untuk membantu usahawan Bumiputera memperbaiki kemahiran mereka di dalam pengurusan perniagaan, ICT, R&D, pembangunan produk dan pemasaran dan juga mewujudkan hubungan strategik dengan usahawan bukan bumiputera. Untuk membolehkan IKS dalam industri luar bandar menembusi pasaran dunia, usaha untuk mempertingkatkan daya saing mereka akan digiatkan. Konsep satu daerah satu industri akan diperkuatkan lagi untuk meliputi kawasan penyertaan yang lebih besar. Usaha akan ditujukan ke arah mempertingkatkan penggunaan teknologi di dalam proses industri luar bandar, memperolehi pentauliahan kualiti dan menaiktaraf promosi pasaran dengan mewujudkan hubungan dengan pelanggan korporat dan antarabangsa.
Sokongan kerajaan tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi kejayaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar. Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi telah mengambil pelbagai inisiatif dan program untuk menyokong pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar. Ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar yang berdaya saing dan berdaya tahan ke arah meningkatkan sumbangan IKS luar bandar kepada ekonomi negara. Sokongan kerajaan bagi membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar adalah dalam bentuk program yang dirangka khusus bagi menyediakan infrastruktur supaya lebih mudah bagi pengusaha menceburi bidang perniagaan, menanam semangat keusahawanan dan mendidik bakal usahawan.
Bagi memastikan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar terus berdaya maju, pelbagai langkah turut diatur oleh kerajaan untuk membantu IKS meningkatkan kejayaan mereka. Sesebuah IKS akan maju jika diberi pertolongan dalam semua perkara terutamanya dari segi pinjaman kewangan. Oleh kerana IKS memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan telah memperuntukkan jumlah dana yang semakin meningkat pada setiap tahun. Untuk pengusaha yang baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan, pinjaman modal amatlah diperlukan untuk memulakan sesuatu perusahaan. Dengan adanya pinjaman tersebut, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar dapat  membangunkan perusahaan mereka terutamanya kepada perusahaan-perusahaan yang masih dalam peringkat untuk berkembang sehingga ke tahap global.
Disamping itu juga, pinjaman yang disediakan membantu untuk membuka peluang kepada golongan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar yang sedia ada mengembangkan perniagaan mereka selain dapat memenuhi keperluan dalam memulakan perniagaan baru. Sebagaimana yang kita telah ketahui, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar sering dikaitkan dengan kekurangan dana untuk membeli teknologi. Bagaimanapun, ini semua akan berubah dengan adanya bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan kepada IKS luar bandar. Hasrat kerajaan untuk melihat IKS luar bandar terus berkembang maju menyebabkan pinjaman dari segi kewangan dipermudahkan dan dipertambahkan dalam jumlah yang lebih banyak. Usaha ini secara tidak langsung akan membantu memberi impak yang positif kepada ekonomi Negara.
Kerajaan terus memainkan peranan aktif dalam membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar  menerusi pelbagai program dan aktiviti. Dalam usaha ke arah mewujudkan dan membangunkan usahawan yang dinamik dan berpengetahuan, kerajaan telah menganjurkan kursus dan latihan kepada IKS terutamanya untuk usahawan yang berpotensi dan sedia ada. Kursus dan latihan yang diberikan bertujuan untuk mempertingkatkan lagi tahap pengetahuan pekerja untuk memastikan IKS luar bandar memiliki kumpulan tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan terutamanya dari segi pengurusan. Agensi yang terlibat dalam kursus dan latihan ini kebiasaanya dibuat oleh pihak TEKUN dan MARA, kerana agensi ini amat memberi peranan dalam latihan dan kursus yang dibuat untuk usahawan IKS, seperti kursus dan latihan pembungkusan, kewangan, kepimpinan, pengurusan, dan sebagainya. Walaupun mempunyai dana yang mencukupi, perusahaan IKS tidak mungkin berjaya sekiranya tidak mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam menguruskan perusahaan.
Dengan memiliki pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, pekerja dapat membantu dalam meningkatkan produktiviti organisasi. Kursus dan latihan yang disediakan penting bagi membolehkan sesebuah organisasi berkembang menjadi syarikat yang berjaya dalam peringkat domestik serta dapat melangkau ke peringkat serantau dan global. Dengan melihat kepada segala keperluan IKS luar bandar dari segi kewangan dan kemahiran, kerajaan turut menawarkan khidmat nasihat perniagaan yang komprehensif kepada IKS luar bandar supaya IKS ini mendapat khidmat nasihat yang berkualiti tinggi dan lebih baik berbanding sebelumnya terutamanya dalam bidang pemasaran, pengurusan dan operasi. Perkhidmatan yang telah ditawarkan kepada IKS luar bandar adalah dalam semua peringkat kitaran perniagaan bagi membantu mereka berkembang dan mencapai kecemerlangan dalam aktiviti perniagaan. Terdapat beberapa agensi yang menyediakan khidmat nasihat kepada IKS. Antaranya ialah seperti SMIDEC, MARDI dan MARA. Tujuan khidmat nasihat ini disediakan adalah dengan tujuan untuk memberi panduan kepada IKS luar bandar tentang cara menguruskan perniagaan dengan lebih baik terutamanya dalam persekitaran kos yang semakin meningkat dan lebih sukar pada masa kini.
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar ini  boleh mendapatkan khidmat nasihat dengan lebih lanjut mengenai langkah-langkah yang berkesan untuk menguruskan perniagaan dan secara tidak langsung membantu bagi mengukuhkan operasi perniagaan IKS. Selain itu, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar boleh mendapatkan maklumat yang pelbagai bagi menangani masalah yang dihadapi dalam perniagaan dan memperbaiki proses pengurusan. Dengan adanya khidmat nasihat tersebut, pengusaha IKS akan lebih bermotivasi dalam menjalankan perniagaan serta dapat menghasilkan idea yang lebih kreatif untuk diaplikasikan dalam perniagaan pada masa depan.
Untuk mengembangkan lagi perniagaan IKS, kerajaan turut menyediakan infrastruktur atau kemudahan bagi menyokong pertumbuhan IKS terutamanya kepada IKS di kawasan luar bandar. Antara kemudahan yang disediakan ialah kilang dan bengkel, penyediaan  subsidi tanah, subsidi mesin dan subsidi pengangkutan dan sebagainya. Kemudahan ini disediakan adalah dengan tujuan untuk memberi keselesaan dan memudahkan lagi proses perniagaan IKS dijalankan. Malah kemudahan tersebut juga memberi peransang kepada IKS luar bandar dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan memajukan organisasi. Sebagai contoh, melalui penyediaan tanah oleh kerajaan, pengusaha IKS boleh memanfaatkan kemudahan tersebut untuk dijadikan sebagai tapak perniagaan atau sebagai tempat untuk menghasilkan bahan mentah sendiri. Dengan itu, pengusaha dapat mengurangkan kos di mana sekiranya IKS sudah mempunyai tapak atau bahan mentah sendiri maka pengusaha tidak perlu lagi mengeluarkan dana untuk membayar sewa dan kos untuk bahan mentah. Dari segi penggunaan mesin pula ia boleh meningkatkan hasil keluaran dan menjamin kualiti yang baik, dimana ia amat mempengaruhi pemasaran untuk pembekalan yang berterusan. Dari segi pengangkutan pula ia memudahkan untuk ke satu kawasan ke kawasan yang lain, dimana ia amat membantu dalam penghantaran bekalan dan memperolehi bekalan dengan cara yang lebih berkesan.Oleh yang demikian, penting bagi kerajaan untuk memberikan komitmen sebenar ke arah memajukan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar.  
Antara lain langkah dan dorongan yang telah kerajaan salurkan kepada pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar ini adalah dengan menyediakan pembiayaan dan geran. Kerajaan menawarkan pelbagai bentuk bantuan pembiayaan kepada pengusaha IKS. Bantuan ini disalurkan melalui agensi-agensi bertanggungjawab dan juga melalui institusi-institusi kewangan.

1. Geran dan Insentif
Berikut adalah geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS:
   Skim kewangan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
.    Perbadanan Pembangunan Industri Kecil & Sederhana (SMIDEC)
   Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)
.    Perbadanan Produktiviti Negara (NPC)
.    Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA)
   Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD)
   Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA)
.    Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
   Kementerian Kemajuan Bandar dan Wilayah (KPLB)
. Skim geran penyelidikan dan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC)
2. Skim Khas Bank Negara
Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperolehi pembiayaan.
3. Pinjaman
Berikut adalah kemudahan pinjaman yang disediakan kepada pengusaha IKS:
.    Institusi kewangan kerajaan
.    Bank komersial
.    Syarikat kewangan
4. Program Latihan dan Pembangunan
Kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang berminat mengusahakan aktiviti IKS.
   Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC)
   Majlis Amanah Rakyat (MARA)                    
   Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD)
5. Khidmat Nasihat dan Perundingan
Usahawan dan pelabur yang inginkan pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain.
   Khidmat nasihat dan sokongan teknikal
.    Panel penasihat pakar EKS (SEAP)
.    Skim khidmat pakar perunding MARA
.    Bahagian pembangunan infrastruktur perniagaan (BPI)
   Seksyen pembangunan industri kecil dan sederhana
.    UKM Pakar Runding Sdn Bhd
.    Persatuan IKS Malaysia
6. Perbadanan Pembangunan Industri Kecil & Sederhana (SMIDEC)
Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) adalah agensi Kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaras pembangunan IKS. Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS.
a)    Program rantaian industri
b)    Program pembekal global
c)    Program peningkatan kemahiran
7. Majlis Amanah Rakyat (MARA)
Majlis Amanah Rakyat (MARA) adalah agensi Kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalak, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan. Berikut adalah program latihan dan pembangunan usahawan yang disediakan oleh MARA:
a)    Latihan Keusahawanan
b)    Skim Latihan perintisan
c)    Program promosi pemasaran
8. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD)
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) merupakan agensi utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan usahawan Bumiputera. Berikut adalah program latihan dan pembangunan usahawan yang disediakan oleh MECD:
a)    Latihan asas perniagaan (LAP)
b)    Latihan Asas Keusahawanan Siswazah
c)    Program pemasaran bersepadu perabot
d)    Kursus/Bengkel Keusahawanan Anjuran Bahagian Latihan Keusahawanan
e)    Kursus Keusahawanan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)
f)     Program Latihan Anjuran Bahagian Francais dan Vendor
            Konklusinya,  terdapat banyak kemaslahatan Indutri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak seharusnya membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja. Kita perlu gigih meningkatkan kualiti IKS kerana industri ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada barangan keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan imej negara di mata dunia. Apabila masyarakat sama ada di dalam atau di luar negara menggunakan sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara telah terserlah.  Oleh hal yang demikian, semua pihak iaitu pihak kerajaan, swasta, masyarakat serta individu perlulah bekerjasama untuk meningkatkan industri ini. Dana yang besar telah diperuntukkan oleh kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya bagi tujuan memajukan IKS.  Diharapkan barangan keluaran IKS mampu bersaing dalam pasaran  di peringkat tempatan dan juga persada antarabangsa. Hal ini juga selaras dengan gagasan 1 Malaysia iaitu, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.





RUJUKAN UTAMA
Abdul Aziz Ab. Latif, Mohd Abdullah Jusoh, Mohd Azlan Yahya, Osman Jusih, Syhira Hamidun,Asas Keusahawanan dan Pengurusan Perniagaan Kecil dan Sederhana, 2011, Universiti Malaysia Kelantan

Rujukan Tambahan Internet


2 comments:

  1. Assalamualaikum wbt. Ada seorang lelaki Melayu dari asnaf fakir miskin bernama Saudara Adila Bin Suboh. Dia berasal dari Melaka. Dia berumur 44 tahun. Dia tidak mempunyai rumah dan kenderaan sendiri. Dia sentiasa berada dalam keadaan daif dan hidup dalam serba kekurangan. Dia tidak mampu menyara keluarganya kerana kesempitan wang. Adakala dia tidak makan dan mandi beberapa hari. Dia mengharapkan belas kasihan dari orang yang prihatin dengan keadaan nasibnya. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan wang secara ikhlas, boleh derma ke akaun maybank 151089317354 Adila Bin Suboh. Sumbangan anda dapat meringankan beban orang yang memerlukannya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Lucky Creek Casino & Hotel - Mapyro
    View and 서산 출장안마 compare reviews, location 충청남도 출장샵 information, photos and ratings for Lucky Creek Casino & Hotel in Lemoore, 광양 출장마사지 LA. 문경 출장마사지 충청남도 출장샵 Lucky Creek Casino.

    ReplyDelete